DEMI WAKTU

 

KUNJUNGAN

Free Web Site Counter
:: YDQT ::

PAUTAN
KOMENTAR


AL-QURAN
SISIPAN


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus_hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar- syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan da'wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

BLOGGER

Persoalan Maulidur Rasul
Monday, March 17, 2008

Sejak kebelakangan ini ramai reformis-reformis Islam ghairah untuk berdakwah dan menegakkan islam,tapi pendekatan mereka tidak selari dengan naluri Islam itu sendiri.Lagi-lagi jika kita bangkitkan soal sambutan Maulidur Rasul,bilamana saya perkatakan ini tidaklah saya berniat untuk merendahkan semangat mereka sedangkan saya juga salah seorang dari mereka yang mahu melihat keagungan Islam kembali.Tapi kita perlu ingat dan sedar bahawa pemikiran kita mestilah tidak terlalu rigid dalam membincangkan Islam yang kadang-kadang kita bercakaran hanya dek kekhilafan diantara para ulama.Mengapa sampai begitu wahai muslimin?

Allah berfirman ,"Berpegangl ah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali-Imran: 103)

Bila membincangkan mengenai Maulidur rasul,ramai yang beraggapan bahawa saya akan mengatakan tidak boleh atau mereka menganggap saya akan berpegang pada hujah Bin Baz ,Syeikh Utsaimin(moga Allah sentiasa merahmati ulama-ulama yang hebat ini) dan lain-lain yang mengharamkan sambutan ini.Tapi saya tidak,kerana dalam permasalahan ini,terdapat beberapa pintu untuk kita masuki dan perbincangkan perihal hal ini.

Saya suka membawakan satu komentar dari Imam Mutawalli Sha'rawi,menurut beliau (1) "Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya". Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri."

Bertitik tolak daripada hadis tersebutlah Umat Islam kini tercari-cari bagaimana cara untuk kita mengingatkan kembali Umat Islam agar mencintai Nabi SAW dan memberikan kesedaran dan kefahaman kepada Umat Islam tentang perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam.(lagi-lagi lah dalam zaman ini yang sudah ramai yang jauh dari cahaya Iman).

Dan persoalann ini juga telah bermain didalam minda Salahudin Al-ayubi ketika umat Islam sedang berjuang keras mempertahankan diri dari serangan tentara salib Eropah, yakni dari Prancis, Jerman, dan Inggris. Kita sudah maklum bahawa zaman itu dikenali sebagai Perang Salib atau The Crusade. Pada tahun 1099 M tentara salib telah berhasil merebut jerusalem dan menyelinap masuk ke Masjidil Aqsa .Umat Islam saat itu kehilangan semangat perjuangan dan persaudaraan ukhuwah. Secara zahir memang umat Islam terpecah-belah dalam banyak kerajaan dan kesultanan. Walaupun ada satu khalifah iaitu Dinasti Bani Abbas di kota Baghdad sana, namun hanya sebagai lambang persatuan spiritual.Dan disebabkan itu Salahudin Al-Ayubi mengadakan Sambutan Maulidur Rasul bagi membangkitkan semula semangat para pejuang Islam dan juga umat Islam ketika itu. (2)

Kita menyambut Maulidur rasul bukanlah untuk menjadikannya salah satu perayaan ibadah tapi hanya sekadar untuk mengingati dan mensyukuri akan kelahiran Nabi kita yang menjadi pembimbing kita keluar dari kegelapan. Menurut Ibnu al-Hajj (3), "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan islam.

Dengan adanya sambutan Maulidur rasul maka kita akan dapat memperkenalkan muslimin siapa itu Muhamaad dan secara tak langsung kita akan membuatkan hati Muslimin tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) ,meniru akhlak nabi dan meniru segala perbuatan baginda dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya" (4) . Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh dilakukan secara bersendirian.

Dan kemudian bila kita rujuk kembali didalam sahih Bukhari berkenaan dengan Abu Lahab yang akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya, kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w). Hadith ini terdapat didalam kitab Nikah oleh Bukhari , Dan kemudian Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi berkata (5) , "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya "hancur tangan-tangannya" ; diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? Tentu lebih lagi ganjarannya”.

Boleh diperkatakan disini bahawa sambutan ini dilakukan adalah semata untuk Memperingati hari kelahiran baginda dan ia secara tidak langsung akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.Kerana baginda adalah ikutan kita dan ia mempunyai akhlak yang mulia sepertimana Firman Allah didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)

Dan bila kita melewati kembali sirah Nabi,antara cara Nabi mahu meningkatkan semangat juang para sahabat yang lain ialah memuji-muji diri baginda dan bercerita mengenai akhlah baginda dengan bersayembara syair.Ini telah dinyatakan oleh Al-hafiz Ibnu Kathir didalam kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w) memuji nama baginda dan membaca syair mengenai diri baginda semasa peperangan Hunayn untuk membakar semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. Pada hari itu baginda berkata,"Aku adalah Rasulullah! Ini bukanlah dusta. Aku anak Abdul Mutalib .Rasulullah (s.a.w) sebenarnya amat bergembira dan menyenangi mereka yang memuji baginda kerana ianya merupakan perintah Allah dan baginda memberi kepada mereka apa yang Allah anugerahkan kepada baginda. Apabila kita bersama-sama berkumpul untuk mendekati Nabi (s.a.w), kita sebenarnya juga, melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah justeru kerana mendekati Nabi (s.a.w) akan membuatkan Allah redha kepada kita.

Terdapat juga hadith riwayat Bukhari didalam al-Adab al-mufrad(bukan semua hadis didalam ini adalah sahih) dan kitab-kitab lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda,"Terdapat hikmah di dalam syair"; dan kerana itu bapa saudara Nabi (s.a.w) al-'Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi (s.a.w) seperti didalam rangkap berikut:

Dikala dikau dilahirkan , bumi bersinar terang Hinggakan nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahaya mu, Dan kami dapat terus melangkah Lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin. (6)

Sekarang kita sudah tahu mengapa sambutan ini dibenarkan dan diperbolehkan tapi kita semua kena ingat bahawa kebenaran ini bukanlah secara mutlak tapi tetap dibatasi dengan syarak.Apa yang dikatakan dengan syarak ialah kita tidak mencipta atau melakukan satu ibadah khusus ketika Sambutan itu dilaksanakan.Misalnya kita mewajibkan puasa pada Mualidur rasul atau kita diwajibkan berakikah dan sebagainya.Tapi kita lebih kepada memperingatkan kembali dan menyoroti kembali siapa itu Muhammad rasul Allah.Dan sambutan ini bukan sahaja tertakluk pada hari tertentu saja,tapi sepatutnya sambutan ini perlu dilakukan acap kali agar kita hati kita sentiasa bersama Allah dan Junjungan besar kita.Dalam majlis-majlis sambutan ini kita perlu dedahkan masyarakat tentang segala perilaku nabi dan sebagainya,dan bagi peminat sunnah dan mereka yang betul-betul bersemangat dalam menghidupkan sambutan ini maka saya galakan juga untuk berpuasa setiap hari isnin kerana hari ini adalah juga hari kesukaan baginda. Muslim menulis didalam Sahihnya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith.

Oleh itu berdasarkan pada pendapat para ulama dan dalil-dalil maka kesimpulannya sambutan ini boleh diadakan tapi ia perlu diawasi dan diperjaga agar sambutan ini tidak tercemar dengan kegiatan yang tidak membawa kepada penghayatan Sirah nabi,dan kandungan program-program juga perlu ditekankan yang berbentuk mengenali nabi.Dan saya berharap artikel ini dapat merungkai persoalan dalam minda kita semua sekian lama ini dan jadilah muslim yang berfikiran terbuka dan sentiasa berlapang dada dalam persoalan khilafiah.Dan sekall lagi saya katakan bahawa jika ada kesilapan fakta dan sebagainya,saya dengan rendah diri memohon agar para pembaca segera maklumkan pada saya.Akhir sekali “jika pemahamanku silap,aku akan menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku“(imam syafie)





(1) kitabnya iaitu Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms.295)

(2) Ibid

(3) al-Madhkal (jilid 1, ms. 261)

(4) (Al-Ahzab:56)

(5) kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi

(6) (Petikan ini tercatat didalam kitab Imam as-Suyuti, Husn al - Maqsid ms.5 dan didalam kitab Ibnu Kathir, Maulid ms.30 dan juga didalam kitab Ibnu Hajar, Fath al-Bari.)

posted by Permai @ 12:21 AM   0 comments
Keputusan Pilihanraya
Monday, March 10, 2008
Tiada majoriti mudah

PUTRAJAYA 9 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat mengumumkan kemenangan parti-parti yang bertanding di empat buah negeri yang bertukar kerajaan negeri berikutan kegagalan parti berkenaan memperoleh majoriti mudah.

Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, negeri tersebut adalah Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

''Mengikut pengiraan, tidak ada satu parti pun yang mendapat majoriti mudah dan dengan itu SPR tidak boleh mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya di Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR awal pagi ini.

Ab. Rashid berkata, bagi Perak yang memerlukan majoriti mudah sebanyak 30 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) hanya menang di 28 kerusi, DAP (18), Parti Keadilan Rakyat (tujuh) dan Pas (enam).

Di Pulau Pinang pula, katanya, DAP mendapat 19 kerusi, BN (11), PKR (9) dan Pas (satu) sedangkan majoriti mudahnya adalah 21 kerusi.

''Di Kedah yang memerlukan majoriti mudah sebanyak 19 kerusi, Pas hanya mendapat 16 kerusi, BN (14), PKR (empat), DAP dan Bebas masing-masing satu kerusi.

''Selangor pula perlu mendapat majoriti mudah sebanyak 29 kerusi tetapi BN mendapat 20 kerusi, PKR (15), DAP (13) dan Pas (lapan)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR tidak boleh menyentuh soal pembentukan kerajaan negeri kerana suruhanjaya itu hanya bertanggungjawab menentukan kemenangan kerusi yang dipertandingkan.

Ab. Rashid berkata, bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, BN memperoleh 140 kerusi Parlimen manakala Pas (23), DAP (28) dan PKR (31) sekali gus menyaksikan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Jumlah majoriti dua pertiga ialah 148 kerusi Parlimen.
posted by Permai @ 12:15 AM   0 comments
Politik dan Pilihanraya
Tuesday, March 4, 2008
Peminat politik tanahair mahupun antarabangsa tentunya sedang tekun mengikuti perkembangan semasa dunia politik hari ini. Tatkala ini boleh dikatakan di mana-mana sahaja kedengaran berita perkembangannya - didada-dada akhbar mahupun paparan media massa lainnya. Baru-baru ini, sebagai contoh, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerima tamparan hebat yang bakal menggugat kekuatan dan pengaruhnya di Kelantan setelah tewas dalam Pilihanraya Kecil DUN N12 (Pengkalan Pasir) ditangan Calon UMNO (BN) – Hanafi Mamat pada 6hb. Disember yang lepas. Biarpun jelas laporan sesetengah pihak bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut dicemari dengan pelbagai masalah seperti isu ‘Pengundi Hantu’, namun keputusan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) adalah muktamad pada 7hb Disember 2005 yang memihak kepada UMNO (BN). Semua pihak akur pada keputusan itu biarpun ada yang menerimanya dalam kepahitan.

Dalam perkembangan politik antarabangsa pula, pilihanraya Parlimen Mesir diwarnai dengan pelbagai ‘pencemaran’ setelah dilaporkan bahawa pihak kerajaan yang memerintah mengenakan tindakan keras terhadap penyokong dan pendokong parti pembangkang, Ikhwanul Muslimun. Malah ada desas-desus yang mengatakan bahawa Amerika Syarikat turut campurtangan dengan mendesak pihak kerajaan Mesir mengubah beberapa undang-undang pilihanraya agar demokrasi dan prosesnya tidak ‘dicemar’ secara ‘terang-terangan’ yang boleh membuahkan kemenangan pihak pembangkang dalam pemilihan Parlimen negara itu.

Di Palestin pula terutamanya di Tebing Barat, berita penglibatan parti Hamas dalam pilihanraya tempatan menggugat kedudukan parti pimpinan Presiden Mahmoud Abbas. Dewan Perwakilan Amerika Syarikat turut memberi tekanan kepada Presiden Palestin untuk menggugurkan Hamas dari penyertaan dalam pilihanraya tersebut. Turut sama memberi sokongan terhadap cadangan itu adalah Israel.

Begitu juga di Iraq, pilihanraya Parlimen baru-baru ini diadakan bagi mencari penyelesaian terhadap pergolakan rakyat dan kaum yang kini mendapat tempat dalam laporan utama harian berita dunia setelah Amerika Syarikat buntu dan gagal mengharmonikan negara tersebut.

Dari peristiwa-peristiwa yang dibincangkan di atas, apa yang dapat kita perhatikan adalah, dalam menyelesaikan permasalahan yang melibatkan pemerintahan, umat manusia, lebih-lebih lagi kaum muslimin hari ini telah terperangkap dalam membuat pilihan. Pada pandangan mereka, pilihanraya demokrasi adalah merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan persengketaan kekuasaan dalam urusan politik dan pemerintahan, seolah-olah tidak wujud jalan lain yang lebih baik bagi tujuan ini. Sautun Nahdhah kali ini cuba mengupas wacana pilihanraya dari perspektif Islam serta hukum yang terkait dengan dasar dan objektifnya.

Fakta Pilihanraya

Pada asasnya, pilihanraya difahami sebagai proses pemilihan pimpinan - yang membentuk sebuah pemerintahan, daerah mahupun negara. Namun secara nisbinya, pilihanraya merupakan satu mekanisme kepada peraihan kekuasaan dari rakyat di dalam mana-mana negara yang menjalankan prinsip demokrasi (kebebasan). Tradisi memilih dan mengganti pemimpin hanyalah melalui kutipan suara majoriti atau pilihanraya samada di peringkat negeri mahupun Parlimen. Cara ia dijalankan bergantung pada jenis pemerintahan samada pemerintahan Republik, Persekutuan ataupun Monarki.

Dikebanyakan sistem politik demokrasi, beberapa jenis pilihanraya boleh didapati, bergantung kepada lapisan pemerintahan atau sempadan geografi. Antara yang biasa ditemui adalah:

1. Pemilihan Presiden (Presidential election)
2. Pilihanraya Umum (General elections)
3. Pilihanraya Utama (Primary elections)
4. Pilihanraya Parti (Bye-elections)
5. Pilihanraya Kecil (Local elections)

Perlu diperjelaskan dengan teliti bahawa piliharaya di negara kita adalah bertujuan untuk melantik Ahli Dewan Rakyat (Parlimen) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), . Namun begitu, oleh kerana idea pilihanraya hari ini telah dibudayakan dengan aspirasi demokrasi dan kapitalisme, umat tidak lagi melihatnya dari aspek hukum fiqh. Secara umumnya satu dari tugas utama dewan adalah untuk membuat undang-undang [Politik dan Kerajaan Malaysia, R.S. Milne dan Diane K. Mauzy, ms 266]. Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Parlimen juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.[www.parlimen.gov.my]

Tidak menjadi kesalahan kepada orang Islam untuk menjadi anggota Dewan Rakyat atau DUN selama mana mereka hanya menghadkan aktiviti kepada melakukanamar makruf nahi mungkar, berdakwah , memeriksa dan mengkritik dasar kerajaan kerana perkara ini adalah sesuai dengan tuntutan syarak. Namun perlu dipastikan bahawa dia tidak terlibat dengan pengiktirafan undang-undang manusialah yang tertinggi dan tidak terlibat dalam penggubalan undang-undang, ini kerana Allah SWT berfirman

“..Sebenarnya (yang menentukan) hukum hanyalah bagi Allah..” [TMQ Yusuf (12) :40]

Adapun aktiviti perundangan itu sebenarnya juga tertakluk kepada tegahan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firmanNya yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.” [TMQ An-Nahl (16) :116]

Begitu juga dengan kalam Allah Subhanahu wa Ta’ala yang lain, yang dapat kita temukan di dalam kitab Al-Quran, kitab yang kita imani tanpa sedikitpun keraguan terhadap isi kandungannya. Maka dari sini jelas bahawa segala bentuk penggubalan undang-undang mahupun peraturan hidup yang bukan berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala (dengan kata lain, wahyu) adalah tertolak..

Hukum Pilihanraya

Di sisi syara’, pilihanraya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Penyempurnaan aqad wakalah mesti memenuhi rukun-rukunnya, iaitu;
1. Ijab dan qabul
2. Muwakkil – pihak yang mewakilkan
3. Wakil – pihak yang mewakili
4. Perkara yang diwakilkan
5. Bentuk redaksi akad perwakilannya (sighat tawkil)

Ini berdasarkan kepada beberapa dalil dari hadis;
Dari Jabir bin Abdillah. Ia menuturkan, "Aku hendak berangkat ke Khaibar, lalu aku menemui Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda kemudian bersabda : Jika engkau menemui wakilku di Khaibar maka ambillah olehmu darinya lima belas wasaq.” [HR Abu Daud]

Dan dalam peristiwa Bai’at ‘Aqabah II, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).

Sementara yang menjadi isu utama dalam menetapkan hukum pilihanraya itu adalah ‘perkara yang diwakilkan’ yang merupakan objektifnya, jika kita pasti bahawa calon yang kita undi itu dapat memastikan dirinya tidak terlibat dalam proses pembuatan undang dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan syariat, maka bolehlah kita datang mengundi untuk beliau, namun jika tidak adalah haram untuk bersubahat melantik menjadi wakil kepada benda yang diharamkan, berasaskan Kaedah,

Al-wasilatu ila haraam, muharramah
(Sesuatu yang membawa kepada keharaman, maka ianya juga haram)


Pilihanraya Dalam Sistem Pemerintahan Islam

Adapun pilihanraya yang dibenarkan (sah) dalam Islam ia hanya terkait dengan dua objektif, iaitu;

1. Perlantikan perwakilan membentuk sebuah majlis syura yang juga dikenali sebagai Majlis Ummat di mana fungsi atau objektif majlis adalah menyampaikan aspirasi (suara) rakyat dan juga memuhasabah (memberi teguran, masukan) terhadap administrasi (pengurusan) Khalifah. Skop fungsinya bukan sebagai penggubal undang-undang.
2. Majlis Ummat juga boleh digunakan sebagai mekanisme menentukan calon Khalifah di mana calon tadi dikempen agar dibai’at menjadi pemimpin umum kaum muslimin keseluruhannya.

Walaupun secara kasarnya, tidak nampak perbezaan ketara di antara pilihanraya di dalam Sistem Islam dan Sistem Demokrasi, tetapi jika direnung secara mendasar, terdapat pelbagai percanggahan yang memisahkan antara keduanya. Jadual di bawah cuba mengilustrasikan perbezaan tersebut;

**** JADUAL ILUSTRASI PERBEZAAN TERSEBUT BOLEH DIPEROLEH DARI FAIL FDF ****

Thariqah (jalan/method) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam Berpolitik Membentuk Pemerintahan (Negara)

Dalam konteks umat Islam melakukan aktiviti politik menegakkan syari'at Islam melalui institusi negara (Khilafah), adalah perlu ditegaskan dua prinsip:

Pertama, bahawa aktiviti seseorang muslim wajib bersandar kepada hukum syara’, bukan bersandar kepada selainnya, seperti kemaslahatan, hawa nafsu, atau logik. Kerana itu, perjuangan umat untuk mendirikan Khilafah wajib didasarkan kepada hukum-hukum syara’ dan tidak boleh didasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan yang tidak syar’i. Keterikatan kepada syariat Islam adalah kewajiban tiap muslim. Kedua, bahawa umat Islam wajib mengambil suri teladan (uswatun hasanah) dari Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dalam masalah ini. Ini adalah kerana, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam telah memberi teladan bagaimana caranya untuk mengubah masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat Islam. Kita wajib meneladani manhaj (jalan) Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan Hari Kiamat, dan dia banyak menyebut Allah (dengan membaca zikir dan mengingat Allah).” [TMQ Al-Ahzab [33]: 21].

Berdasarkan dua prinsip itulah, maka langkah-langkah untuk mendirikan Khilafah dapat disarikan sebagai berikut:

1. Perjuangan harus dilakukan secara jama’i (berkelompok) kerana mendirikan Khilafah adalah tugas yang berat yang tidak akan mampu dipikul oleh individu. Kerana itu, umat wajib berkelompok (berjamaah) untuk mendirikan Khilafah kerana tanpa kelompok tersebut tidak mungkin kewajiban mulia ini dapat direalisasikan secara sempurna. Ini adalah sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:

“(Dan) hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (jamaah) yang menyeru kepada kebaikan (mengajak memilih kebaikan, yaitu memeluk Islam), memerintahkan kepada yang ma’aruf dan melarang dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali-Imran [3]: 104].

2. Perjuangan harus berada di jalur politik (siyasah). Ini adalah kerana mendirikan Khilafah merupakan masalah politik sehingga thariqah yang relevan untuk mendirikannya tentulah melalui pendekatan politik. Penggunaan jalan politik ini bukan bererti menghalalkan segala cara, sebagaimana amalan politik saat ini yang sangat kotor. Jadi, mendirikan Khilafah paling tepat dilakukan oleh sebuah kelompok politik.

3. Perjuangan tidak menggunakan cara kekerasan (fizik), misalnya dengan membentuk pasukan bersenjata untuk menyerang penguasa. Dari seerah dapat diperhatikan bahawa aktiviti Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di Mekah terbatas hanya pada dakwah secara lisan dan tidak melakukan kegiatan apapun yang bersifat fizik sehinggalah Baginda berhijrah. Bahkan tatkala tokoh-tokoh Madinah menawarkan kepada beliau pada Bai’atul Aqabah II agar mereka diizinkan memerangi penduduk Mina dengan pedang, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab “lam nu`mar bi dzalika ba’du” (Kami belum diperintahkan untuk melakukan yang demikian (perang)).

4. Perjuangan dakwah intelektual; pemikiran-politik (fikriyyah-siyasah) wajib menempuh tahap-tahap (marhalah) yang dicontohkan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Dengan mendalami seerah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di Mekah hingga beliau berhasil mendirikan Daulah Islam di Madinah, akan kita dapati ia berjalan dalam tiga tahapan (marhalah) berikut :

a) Tahapan Pembinaan (Marhalah At Tatsqif), yang dilaksanakan untuk membentuk ahli-ahli yang mempercayai pemikiran Islam dalam rangka pembentukan kerangka tubuh jamaah/kelompok.
b) Tahapan Berinteraksi dengan Umat (Marhalah Tafa’ul Ma’al Ummah), yang dilaksanakan agar umat turut memikul kewajiban dakwah Islam, hingga umat menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya, agar umat berjuang untuk mewujudkannya dalam realiti kehidupan.
c) Tahapan Pengambilalihan Kekuasaan (Marhalah Istilaam Al Hukm), yang dilaksanakan untuk menerapkan Islam secara menyeluruh dan mengembang risalah Islam ke seluruh dunia.

Adapun di dalam konteks memilih pemimpin yang akan dibai’at menjadi Khalifah, para sahabat ketika zaman khulafa’ ar-rasyidin pernah meneladankannya. Sebagai contoh, pemilihan Saidina Abu Bakar dan Umar yang rentetan perlantikan mereka diringkaskan di bawah:

Pertama, Khalifah Abu Bakar
a. Diadakan pertemuan (ijtima') oleh majoriti Ahlul Halli wal Aqdi*
b. Ahlul Halli wal Aqdi melakukan pencalonan (tarsyih) bagi satu atau beberapa orang tertentu yang layak untuk menjadi khalifah.
c. Dilakukan pemilihan (ikhtiyar) terhadap salah satu dari calon tersebut.
d. Dilakukan bai'at in'iqad bagi calon yang terpilih.
e. Dilakukan bai'at ta'at oleh umat kepada khalifah.

Kedua, Khalifah Umar bin al-Khathathab
a. Khalifah itu meminta pertimbangan (istisyarah) kepada Ahlul Halli wal Aqdi mengenai siapa akan menjadi khalifah setelah ia meninggal.
b. Khalifah itu melakukan istikhlaf (menunjukkan pengganti) kepada seseorang yang akan menjadi khalifah setelah ia meninggal. Setelah itu akan dilakukan 2 langkah lagi.
c. Calon khalifah yang telah ditunjuk akan dibai'at dengan bai'at in'iqad untuk menjadi khalifah
d. Dilakukan bai'at at-ta'at oleh umat kepada khalifah.


* Ahlul halli wal aqdi adalah sekelompok individu yang menjadi wakil umat keseluruhan untuk tujuan mengangkat calon khalifah sebagai khalifah.

Khatimah

Secara asasnya, pilihanraya bukanlah suatu keharaman dalam Islam. Ia hanyalah suatu mekanisme (proses) yang boleh digunakan (selama mana tidak ada unsur penipuan) bagi tujuan yang dibenarkan yakni membentuk Majlis Ummat dan mencalonkan seorang Khalifah yang akan dibai’at oleh sekalian umat Islam sebagai pemimpin umum mereka. Namun ianya bukan Thariqah Rasulullah untuk meneggakan Negara Islam. Apa yang menjadi percanggahan di sisi syara’ sekarang adalah pilihanraya disalahguna sehingga ia dijadikan satu-satunya jalan untuk membentuk sebuah majlis legislatif yang berfungsi sebagai penggubal undang-undang kehidupan selain dari wahyu (Allah). Barat menjajakan demokrasi ke negara-negara Islam dengan bertopengkan kepada pilihanraya, lantas bila umat mengambil pilihanraya mereka juga mengambil pakej bahawa kedaulatan di tangan rakyat yang mana kuasa rakyatlah yang memilih sistem mana yang mereka inginkan, tambahan pula sikap kuku besi pemerintahan menjadi pemangkin kepada penyuburannya demokrasi ini. Selagi kapitalisme dan demokrasi menjadi asas sistem yang memancarkan undang-undang yang mengatur urusan rakyat, selagi itulah Islam tidak akan berjaya diterapkan sepenuhnya. Bahkan Barat akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan sistemnya agar ia terus diterapkan, walau dengan apa cara sekalipun (meskipun dengan cara yang bertentangan dengan aspirasi kebebasan (demokrasi) itu sendiri). Sayugia diingatkan bahawa bukan pilihanraya menjadi isu, tapi yang menjadi isu adalah layakah kita menjadikan suara majoriti manusia sebagai asas pembuatan peraturan hidup kita, Apakah kita berhak mengundi hukum Allah?

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata. [TMQ Al-Ahzab, 33:36]

Wallahua’lam
posted by Permai @ 8:37 PM   0 comments
pilihanraya dan kemusykilan

Angin Pilihanraya Umum ke-12 semakin kuat bertiup. Mungkin sesi fotografi selepas selesai mesyuarat kabinet baru-baru ini menjadi satu lagi petanda semakin hampirnya PRU12.

Apakah ini suatu spekulasi? Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRU12. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami.

Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.

Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.

Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya dan proses demokrasi di negara kita.

KEMUSYKILAN 1: AKU TIDAK PEDULISMA

Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.

Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.

Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana. Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti. Anak muda bukan ada masa untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh dari pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.

Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg. Isunya lebih dari itu. Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya. Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan kahwin (atau tidak berkahwin tetapi hidup macam orang kahwin).

Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.

Apa falsafah binatang ternak?

Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!

Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.

Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.

balhumadhall.jpg
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A’raaf 7: 179]

Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?

Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding, yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua. Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.

KEMUSYKILAN 2

Disebabkan oleh luasnya capaian internet, pelbagai idea dengan begitu mudah bertebaran dan tersebar tanpa sempadan. Kita menyediakan masyarakat yang bebas dalam bermaklumat tetapi pendidikan dan keseluruhan struktur rakyat kita tidak menyediakan masyarakat yang bijak mengendalikan maklumat.

Idea bahawa demokrasi itu Barat, tidak Islamik, Haram, justeru penyertaan sesiapa ke dalam pilihanraya dan sistem demokrasi dianggap sebagai bertentangan dengan Islam… menjadi sebahagian daripada wacana anak muda hari ini!

Ini bukan isu baru. Ia sudah lama diperkatakan, malah sudah pun dijawab dengan hujah dan penjelasan yang bertimbun-timbun. Tetapi ia baru popular di Malaysia.

Lantas golongan Islamist (izinkan saya menggunakan istilah ini) bercakaran sesama sendiri. Ketika golongan yang sedar dan celik politik itu kecil jumlahnya berbanding penganut AKU TIDAK PEDULISMA, golongan sedar ini pula tenggelam dalam diskusi yang entah di mana hujung pangkalnya. Apatah lagi wacana tentang hal ini dibahaskan dengan penuh emosi, dan meminjam teladan sejarah secara membuta tuli lagi tepu dengan elemen romanticism yang tidak rasional, lantas semua orang menjadi self proclaimed scholars mencampuri diskusi ini bahawa demi Islam, jangan terlibat dalam demokrasi dan pilihanraya, apatah lagi untuk mengundi calon Islamist.

Apakah cara golongan ini bernegara? Ceritanya panjang, namun pastinya kegagalan generasi muda menyelesaikan isu ini akan sedikit sebanyak melengahkan mereka daripada bertindak betul dan terus melayan siang serta malam dengan teori atas angin yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

KEMUSYKILAN 3

Selain persoalan demokrasi dan pilihanraya, muncul pula duri-duri dan miang buluh golongan ultra salafi yang melabelkan pembangkang sebagai khawarij, mengkritik dan mempertikaikan pemerintah secara terbuka adalah suatu dosa, dan hadith-hadith yang dahulunya dipelajari secara sistematik dalam wacana Siasah Syariyyah, tiris lalu menjadi lopak-lopak di forum internet, lalu dibincangkan tanpa hujung pangkal oleh anak muda yang bernafsu tinggi kepada idea dan fikrah.

Hadith larangan menentang pemerintah selagi mana solat ditegakkan dan yang seumpama dengannya ditabur bagai butir beras kepada ayam-ayam kais ilmu pagi dan petang hingga gagal dikonsepkan dengan betul. Hadith yang dibahaskan secara tidak harmoni dengan Usul Fiqh, mengkesampingkan Qawaid Fiqhiyyah apatah lagi untuk dikukuhkan dengan sosiologi agama, menjadikan tafsiran ultra salafi sangat literalis hingga lebih mementingkan tafsirannya terhadap teks, biar pun tafsiran itu gagal menghubungkan teks dengan konteks.

Semuanya jadi sebegitu mudah, dan proses pembelajaran berstruktur lagi berintegrasi di antara pelbagai disiplin keilmuan Islam, tidak lagi dianggap perlu. Hanya dengan membaca artikel, berforum, mendengar rakaman kuliah, golongan muda ini sudah menganggap diri mereka bersedia untuk mencabut skru tanpa sedar akan upaya diri untuk memasangnya semula dengan betul.

Apa yang berlaku, hanyalah kerugian masa, tenaga dan peranan golongan sedar yang sudah sedia sedikit itu.

Besar manakah pendukung fahaman seperti ini?

Mungkin penonton Anugerah Juara Lagu lebih ramai, tetapi kuasa internet menjadikan pemikiran seorang pun, boleh menggoncang ribuan yang membacanya, lalu memberi bekas kepada proses demokrasi dan pilihanraya, khususnya kepada golongan muda.

Ia adalah contoh kesan structured knowledge yang dibentangkan sebagai bilah-bilah dialog artikel tanpa asas, atau forum yang sering terbabas.

Mungkin idea pembangkang Islamist dilabel Khawarij itu boleh dimanipulasi untuk melemahkan pembangkang dan menguntungkan pihak yang ingin menang, tetapi saya melihatnya lebih kepada gangguan sistem yang merugikan semua pihak tanpa ada sesiapa yang untung di perjalanan jangka masa panjang.

KEMUSYKILAN 4

Beberapa insiden, kesilapan dan kesalahan yang berlaku di pihak pembangkang, sama ada di dalam urusan parti mahu pun ketika mentadbir negeri, mungkin menimbulkan rasa kecewa sesetengah kita. Kekecewaan itu bukan semuanya tidak berasas atau sekadar mainan perasaan. Bagi mereka yang membaca kritikan setajam kritikan Olivier Roy di dalam bukunya The Failure of Political Islam, ia mungkin menimbulkan rasa sesak dada kerana golongan seperti ini tersepit di antara kepincangan pemerintah yang ada, dengan pembangkang yang gagal.

Kekecewaan itu juga mungkin datang dari kesempitan definisi mereka terhadap kemenangan. Mereka mengukur kemenangan dan kekalahan hanya kepada soal mendapat kerusi dan bilangan undi. Lantas mereka menghitung belasan kekalahan pembangkang dan golongan Islamist di dalam sejarah pilihanraya negara kita.

Sedangkan mereka lupa kepada perubahan yang telah berlaku kepada masyarakat. Jika perlaksanaan Syariah masih belum berlaku dan ia dianggap kegagalan, bagaimana pula dengan tahap kefahaman masyarakat kita tentang Islam sebagai suatu cara hidup 20 tahun yang lalu, berbanding hari ini? Jika 20 tahun yang lalu, sebutan tentang hukum hudud diwacanakan secara jahil, hina dan biadab oleh masyarakat kita, apakah masih kedengaran intonasi yang sama pada tahun 2008?

Bagi ahli politik dan muslim yang berminda faqih, hakim dan qadhi… seorang yang dahulunya minum 10 gelas arak tetapi kini berkurang kepada 7, tetap dianggap sebagai peminum arak. Namun jika kita melihat pengurangan 10 kepada 7 dari perspektif seorang daie, seorang pendidik dan aktivis masyarakat, ia adalah suatu pencapaian, suatu perkembangan yang positif.

Golongan Islamist mungkin boleh terus menangis atas kekalahan demi kekalahan pada bilangan kerusi dan jatuh naik hitungan undi. Tetapi di sana ada 100 kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai di sepanjang jalan dan pengalaman yang ada. Mata politik mungkin selalu kecewa, tetapi mata pendidikan sering menyinarkan harapan.

Maka golongan yang kecewa dengan pencapaian Islamist dan pembangkang secara umumnya, janganlah menterjemahkan kekecewaan itu sebagai bonggol-bonggol jalanan yang menyulitkan perjalanan masyarakat. Sebaliknya gunakan kekecewaan itu sebagai suluhan untuk mengenal pasti kelemahan yang ada lantas seterusnya mengemukakan penyelesaian secara bijaksana. Jiwa mengemukakan penyelesaian harus sebesar jiwa menimbulkan persoalan.

posted by Permai @ 8:34 PM   0 comments
asas Ekonomi

أساس النظام الاقتصادي

المنفعة هي صلاحية الشيء لإشباع حاجة الإنسان. فهي تتكون من أمرين: أحدهما مبلغ ما يشعر به الإنسان من الرغبة في الحصول على شيء مُعين. والثاني المزايا الكامنة في نفس الشيء، وصلاحيتها لإشباع حاجة الإنسان، وليس حاجة فرد معين. وهذه المنفعة إما ناتجة عن جهد الإنسان، أو عن المال، أو عنهما معاً. وتشمل كلمة جهد الإنسان: الجهد الفكري، والجهد الجسمي الذي يبذله لإيجاد مال، أو منفعة مال. وتشمل كلمة المال كل ما يُـتَمَـوَّل للانتفاع به، بالشراء أو الإجارة أو الإعارة، إما باستهلاك عينه إفناءً كالتفاحة، أو بعدم استهلاكها كالسيارة، وإما بالانتفاع به مع بقاء عينه كالمنخل إعارة، وكسكنى الدار التي في حيازة غيره إجارة. ويشمل المال النقد كالذهب والفضة، والسلع كالثياب والأغذية، والعقارات كالدور والمصانع، وغير ذلك مما يتمول. وبما أن المال هو الذي يشبع حاجات الإنسان، وما جهد الإنسان إلاّ أداة للحصول على المال عيناً ومنفعة، لذلك كان المال هو أساس المنفعة. وأما جهد الإنسان فهو من الوسائل، التي تمكن من الحصول على المال. ومن هنا كان الإنسان بفطرته يسعى للحصول على هذا المال ليحوزه. وعليه يكون جهد الإنسان والمالُ هما الأداة التي تستخدم لإشباع حاجات الإنسان، وهما الثروة التي يسعى الإنسان للحصول عليها ليحوزها. فالثروة هي مجموع المال والجهد. وحيازة الأفراد للثروة تكون إما من أفراد آخرين كحيازة المال بالهبة، وإما من غير الأفراد كحيازة المال الخام مباشرة، وتكون إما حيازة للعين استهلاكاً وانتفاعاً، كحيازة التفاحة وحيازة الدار ملكاً، وإما حيازة لمنفعة العين كاستئجار الدار، وإما حيازة للمنفعة الناتجة عن جهد الإنسان، كخريطة دار من مهندس. وهذه الحيازة بجميع ما تصدق عليه إما أن تكون بعوض كالبيع وإجارة المال وإجارة الأجير، وإما بغير عوض كالهبة والإرث والعارية. وعلى ذلك فالمشكلة الاقتصادية إنما هي في حيازة الثروة، وليست في إيجاد الثروة. وهي تأتي من النظرة إلى الحيازة أي الملكية، ومن سوء التصرف في هذه الملكية، ومن سوء توزيع الثروة بين النّاس، ولا تأتي من غير ذلك مطلقاً. ولهذا كانت معالجة هذه الناحية هي أساس النظام الاقتصادي. وعلى ذلك فالأساس الذي يبنى عليه النظام الاقتصادي قائم على ثلاث قواعد هي: الملكية، والتصرف في الملكية، وتوزيع الثروة بين النّاس.

posted by Permai @ 8:30 PM   0 comments
AHLI LEMBAGA

SENARAI AHLI LEMBAGA PENGARAH


PENAUNG
Tn. Hj. Yahaya bin Sulaiman
Pengerusi Yayasan DarAl-Quran



PENASIHAT
En. Azrul Azlan Iskandar Mirza
En. Mohd Azrul Hisyam Bin Salleh


PENGARAH URUSAN
En. Mohd Khairi bin Jamal


PENGARAH EKSEKUTIF/PENGURUS PEROJEK
En. Muhammad Hanis Ridha bin Makmor


KETUA PEGAWAI TADBIR
En. Zul Hairi bin Ahmad


PENGURUS KEWANGAN
Pn. Farah Syuhada binti Ramli


PENGURUS PEMASARAN
En. Mohd Taufik bin Abd Rahman


PENGURUS SUMBER MANUSIA
Cik Sarah Fawzia binti Ahmad Fuzi

PREVIOUS POST
ARCHIVES
::SISIPAN::

BLOGGER

 Pejabat : 39 A, Jalan Zabidin, 28400 Mentakab, Pahang DM
Alamat Surat Menyurat : F-214 Jalan Selayang, 28000 Temerloh, Pahang DM
Pusat Pendidikan : Kompleks Darul Quran, Kg Sg Netas, 28400 Merntakab, Pahang DM
No Pendaftaran : 1570/92 (Pahang)
http://darulquran.blogspot.com - ydqt.admin@gmail.com